Friday 22 October 2010

Takdir...


-Isnin 29.Jun.2009

            Perasaan rinduku kian membuak dinurani ingin menulis sesuatu yang sekian lama kusimpan di hati. Kadangkala idea itu hadir ketika mahu melelapkan mata, namun tatkala saat mata mula celik idea itu pantas saja hilang dalam fikiran. Lalu idea itu hanya mati di situ tanpa sempat aku coretkan. Ternyata terlalu banyak misteri alam yang tidak mampu kuungkapkan. Terutama sekali mengenai takdir yang telah tersurat serta tersirat setiap hamba-Nya. Tiada siapa yang mampu mengetahui takdir kehidupan seseorang. Ada ketikanya kita hanya bijak merancang dan meramal, namun seringkali ramalan kita tersasar daripada takdir Ilahi, lantas apa yang dirancang tidak mampu direalisasikan. Subhanallah, Maha Suci Allah yang sungguh bijak menyusun takdir buat hamba-hamba-Nya.
            Namun begitu aku masih percaya bahawa takdir itu bisa berubah hanya dengan doa yang tiada pernah putus serta tulus dari hati. Aku yakin bahawa Allah tidak akan sekali-kali mensia-siakan doa hamba-hamban-Nya yang ikhlas. Bukankah telah termaktub dalam Al-Quran bahawa Allah sentiasa bersifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Umpama kata Khalil Gibran “Doa adalah lagu hati yang membimbing ke arah singgahsana Tuhan, meskipun ditingkah oleh suara ribuan orang yang sedang meratap”. Ya, aku yakin doa mempunyai kuasa merubah sesuatu takdir yang telah tersurat buatku.
            Aku masih ingat satu ayat yang aku perolehi daripada novel “Tinta Elipsis” hasil penulisan Ibnu Ahmad Al-Kurauwi menyatakan bahawa “ kekurangan yang ada pada manusia itu menyebabkan apa jua rancangan dan tindakan yang kita lakukan kadang-kadang sudah diyakini baiknya, tetapi belum tentu baik bagi Tuhan. Begitu juga apa yang kita rancang dan kita lakukan sudah diyakini kesan buruknya tetapi belum tentu buruk menurut penilaian-Nya.”
            Wa’allahualam Bissawab..

No comments:

Post a Comment