Friday 22 October 2010

Sepi...

Khamis 17.September.2009

Kesayuan kian memagut hatiku…entah mengapa perasaan sedih begitu merajai hatiku ketika ini. Sinar kebahagiaan itu kian berjaya kugenggam, namun aku khuatir gengaman itu tidak sekuat mana lantas terlepas dari gengaman. Sesungguhnya aku tidak dapat menipu perasaan ku sendiri bahawa aku tidak akan mampu melepaskan dia pergi. Perginya dia dalam hidupku bererti perginya cinta dan hatiku.

Sepi sering menghiasi malam-malamku. Sepi hatiku sepi..tandus jiwaku dengan kasih sayang, sesak nafasku dengan perpisahan. Oh Tuhan jangan kau pisahkan dia jauh dariku…cukuplah kedukaan dahulu yang menghimpit jiwa…aku tidak mahu kelukaan dahulu berulang lagi…Ku mohon padaMu ya Allah izinkan aku untuk bersamanya. Redhailah kami ya Allah…ku ingin bersamanya meniti perjalanan ini. Jangan biarkan dia pergi dalam hidupku.

Takdir...


-Isnin 29.Jun.2009

            Perasaan rinduku kian membuak dinurani ingin menulis sesuatu yang sekian lama kusimpan di hati. Kadangkala idea itu hadir ketika mahu melelapkan mata, namun tatkala saat mata mula celik idea itu pantas saja hilang dalam fikiran. Lalu idea itu hanya mati di situ tanpa sempat aku coretkan. Ternyata terlalu banyak misteri alam yang tidak mampu kuungkapkan. Terutama sekali mengenai takdir yang telah tersurat serta tersirat setiap hamba-Nya. Tiada siapa yang mampu mengetahui takdir kehidupan seseorang. Ada ketikanya kita hanya bijak merancang dan meramal, namun seringkali ramalan kita tersasar daripada takdir Ilahi, lantas apa yang dirancang tidak mampu direalisasikan. Subhanallah, Maha Suci Allah yang sungguh bijak menyusun takdir buat hamba-hamba-Nya.
            Namun begitu aku masih percaya bahawa takdir itu bisa berubah hanya dengan doa yang tiada pernah putus serta tulus dari hati. Aku yakin bahawa Allah tidak akan sekali-kali mensia-siakan doa hamba-hamban-Nya yang ikhlas. Bukankah telah termaktub dalam Al-Quran bahawa Allah sentiasa bersifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Umpama kata Khalil Gibran “Doa adalah lagu hati yang membimbing ke arah singgahsana Tuhan, meskipun ditingkah oleh suara ribuan orang yang sedang meratap”. Ya, aku yakin doa mempunyai kuasa merubah sesuatu takdir yang telah tersurat buatku.
            Aku masih ingat satu ayat yang aku perolehi daripada novel “Tinta Elipsis” hasil penulisan Ibnu Ahmad Al-Kurauwi menyatakan bahawa “ kekurangan yang ada pada manusia itu menyebabkan apa jua rancangan dan tindakan yang kita lakukan kadang-kadang sudah diyakini baiknya, tetapi belum tentu baik bagi Tuhan. Begitu juga apa yang kita rancang dan kita lakukan sudah diyakini kesan buruknya tetapi belum tentu buruk menurut penilaian-Nya.”
            Wa’allahualam Bissawab..

Umang-umang...

Isnin 29.Jun.2009 8.35am


Membelek-belek buku kesayanganku yang hampir lunyai dek kerana selalu dibaca dan sering menjadi teman ketika jiwa inginkan ketenangan dan motivasi.Terpana dan terpaku aku pada satu catatan yang aku tulis, kata-kata ini aku perolehi daripada salah satu cerpen yang aku baca. Aku kira kata-kata ini cukup menyentuh sanubariku untuk dikongsi bersama kalian semua...


”Keresahan bagai ombak yang datang dan pergi.Terhempas di pantai lalu merubah pasir. Berulang kali sehingga mungkin pantai menjadi dewasa dengan ketentuan alam.Umang-umang, aku kembali mengingatinya.Dari umang-umang aku belajar erti kehidupan sebenar.Ombak, pasir dan pantai adalah kehidupannya.Nyata hakikat takdir di sana, takkan berubah sampai bila-bila.Terpaksa berlindung meraih simpati pada cengkerang bekas kehidupan untuk meneruskan kehidupannya, kasihan pada umang-umang.Aku menyaksikan dan cuba mengerti.Mulanya aku kira ia terlalu ego,bersembunyi tika aku mula menyapa sehigga aku tidak betah untuk mengungkapkan apa yang patut diungkapkan.Aku bertanya kembali kpd diriku.Siapa aku dan siapa dia? Perbezaan yang jelas,ungkapan yang tidak sekata mana mungkin bisa difahami.Kenyataan itu membuatkan aku tertawa sendiri.Biarpun tak bisa berteman,hanya melalui sentuhan rasa sekurang-sekurangnya umang-umang itu mampu mengusik lamunanku.Seringkali aku mendapati bekas cengkerang yang cantik itu biarpun pemiliknya telah tiada di dalamnya pasti ada umang-umang.Meskipun umang-umang sering dikeji dan dihina kerana kehidupannya.Namun ia tetap mampu menyedarkan aku bahawa betapa perlunya menjaga harga diri,menutup rasa malu daripada memberi malu.Lalu aku mula belajar daripada umang-umang,tak perlu malu meskipun belajar melalui binatang kerana binatang juga makhluk tuhan.Kesabarannya dalam mencari kedamaian memilih keselesaan dan keindahan dalam kehidupan.


Tapi satu persoalan yang sering bermain dibenakku,boleh ke kita mengikut prinsip si umang-umang ni??Sering menumpang untuk mendapat perlindungan...sampai bile kita hendak menumpang??


Tak dapat aku nafikan bahawa kehidupan kita didunia ini juga seperti umang-umang menumpang berteduh di alam fana ini sementara jantung masih berdegup..selagi masih ada hayat dikandung badan..”